 Perempuan Bertudung
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur.
Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian. Maa ashobaka min hasanatin faminallah...wamaa ashobaka min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Perempuan bertudung pun dirogol juga Inilah antara perkataan paling keji yang pernah saya dengar dan baca.
Ia bertambah keji dan hina apabila ia diucapkan oleh orang Islam. Yang mengucap dua kalimah syahadah. Asyhadu An Laa Ilaaha Illallah. Wa Asyhadu Anna Muhamadan Rasulullah ! Hanya kerana seorang muslimah bertudung dirogol, mereka sanggup meluahkan perkataan keji ini.
Plus satu lagi. Yang menambah kejinya ucapan ini ialah "malah wanita ini dibunuh menggunakan tudung yang dipakainya!"
Barangkali perkataan ini sebagai ejekan kepada ulama . Atau sebagai satu sindiran yang cukup sinis. Atau nak menyatakan sikap anti ulama . Atau (mudah-mudahan tidak) nak mengisytiharkan "aku mahu lawan syariat Allah!".
Kepada Allah kita memohon ampun, atas dosa, kealpaan dan segala keterlanjuran kita. Samada perkataan atau perbuatan. Para ulama kita. Ustaz- ustaz kita. Mereka sering mengumandangkan. "Wahai wanita muslimah. Wahai Wanita mukminah. Tutuplah aurat -auratmu. Kehormatanmu, insyaallah akan terpelihara."
Kesimpulan yang dapat difahami ialah, dengan menutup aurat , kehormatan akan terpelihara. Selamat dari gangguan lelaki miang.
Kebalikannya pula ialah, wanita yang tidak menutup aurat , kehormatannya tidak terjamin. Tidak sejahtera dari gangguan lelaki gatal. Mengundang bencana.
Atau, ada kesimpulan satu lagi. Pendedahan aurat dapat menyumbangkan peningkatan kes jenayah, rogol dan sebagainya.
Apa yang tersirat dari perkataan keji: ""Perempuan bertudung pun dirogol juga" ialah, "Wahai ulama ucapanmu tentang aurat tidak benar! Kalian berdusta. Kalian lihatlah sendiri, muslimah yang menutup aurat juga dirogol. Pendedahan aurat bukanlah penyumbang meningkatnya kes jenayah dan rogol. Marilah buka aurat!"
Kita lihat pula kesan ucapan keji ini kepada masyarakat awam.
Sebahagian mereka akan membuat kesimpulan, apa guna menutup aurat . Apa faedah bertudung litup. Apa beza bertudung ataupun tidak.. Bertudung juga tidak selamat dari dirogol. Malah membahayakan. Kerana dalam kes berkenaan dia dibunuh dengan tudungnya sendiri.
Mungkin ada yang terfikir, wah!! Bahaya jika bertudung. Nanti, kita akan dijerut dengan tudung yang kita pakai.
Ucapan "malah dia dibunuh dengan tudungnya sendiri" adalah ucapan yang memang tidak rasional langsung.
Seolah-olah hanya tudung sahaja yang boleh menjerut leher seseorang. Seolah-olah, jika tidak bertudung maka selamatlah dia dari dijerut.
Lupakah mereka bahawa selain dari dijerut dengan tudung, boleh juga dijerut dengan benda-benda lain. Dan apakah hanya menjerut sahaja yang boleh membunuh. Membakar tidak boleh membunuh? Menikam tidak boleh membunuh? Dan seribu macam lagi..
Begitulah manusia. Penuh dengan kebongkakan. Mudah lupa dengan al-Khaliqnya. Tidak sedar bahawa engkau itu hamba. Engkau akhirnya akan masuk ke liang lahad.
Begitulah manusia. Kononnya cuba lari dari syariat. Berpaling dari wahyu. Kononnya tidak rasional. Kononnya mahu keluar dari alam wahyu yang tidak rasional untuk masuk ke alam otak dan akal yang rasional.
Rupa-rupanya, lari dari wahyu bermakna lari dari rasional. Pergi ke alam yang kononnya rasional rupa-rupanya ia adalah alam yang sarat dengan kebodohan dan kedunguan.
Mereka ini baru boleh memahami apa itu rasional sebenar. Apa itu wahyu. Apa itu Syariah. Siapa al-Khaliq. Siapa mahkluk. Engkau itu siapa. Ya, mereka akan tahu hakikatnya selepas mereka dibungkus dengan kain kafan. Setelah mulut-mulut cabul mereka disumbat dengan tanah kuburan. Dan apabila ulat-ulat dengan lahapnya memamah setiap inci tubuhnya.
"Oh!! Memang rasional." "Baru aku kenal Allah itu Maha Pencipta. Maha Bijaksana." "Baru aku tahu, aku ini hamba." "Ohh! Akhirnya mati juga aku."
Menutup aurat adalah perintah Allah Taala. Apa hikmahnya? Itu persoalan nombor dua. Yang penting ia adalah perintah dari Raja segala Raja. Al-Hakim segala al-Hakim.
Nilainya, menutup aurat adalah baik. Tidak kira apa hikmahnya. Sebab segenap perintah Allah adalah baik. Tidak ada yang tidak baik melainkan mesti baik.
Larangan Allah adalah keji. Tidak kira apa hikmahnya. Dan segenap larangan dariNya mesti keji dan keji dan keji.
Itulah pegangan kita.
Jika ada muslimah yang menutup aurat dirogol, menutup aurat akan tetap baik. Jika ada wanita telanjang berjalan dengan selamat tidak dirogol, mendedah aurat tetap keji.
Mengapa begitu? Kerana Allah adalah Allah. Allah adalah Maha Pencipta.
Ketaatan kita terhadap titah perintahNya tanpa berbelah bahagi adalah sebagai luahan iktikad kita bahawa Allah adalah segala-galanya. Kalam mahkluk yg tidak ma'shum, barangkali benar dan barangkali dusta. Namun Kalam Allah, hanya mengenal satu sahaja, iaitu benar semata-mata benar yg tidak pernah dimasuki kedustaan.
  | kasihnya ALLAH pada si mawar berduri menjadi hiasan taman yang indah mewangi mengingatkan si mawar agar sentiasa memperkasakan diri melalui pensyariatan bertudung ibarat duri yang memagari kerna disebalik duri itu bukan sebarang duri tapi duri meningkatkan harga diri... ^^ |
 | nilai sahamnya tidak susut, kan begitu |
 | Saya menghormati pandangan saudara tentang isu ini.... Tapi saya secara jujur dan tegas saya katakan yg saya tak bersetuju bahwa utk seorang muslimah itu dianggap muslimah... dia mesti bertudung dan jika tidak... menjadi kurang "ke-muslimahan-nya". Yg penting kesopanan dan akhlak yg baik... Beratusan tahun Islam menapak di kawasan Nusantara... tidak ada tradisi pemakaian tudung, hijab, purdah dll seperti mana sekarang... tapi masih lagi kaum muslimah kita dapat menyumbang sama pada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dan memelihara kesopanan diri mereka dgn hanya beralas kepala atau menggunakan selendang ataupun hanya dgn berpakain biasa sahaja. Cuma kebelakangan ini sahaja isu tudung ini telah dijadikan ciri asas ukurtara "ke-muslimahan" seorang wanita Islam dgn merebaknya pengaruh ciri kebudayaan timur tengah.
Kesopanan dan akhlak yg baik tidak terletak pada tudung. Saya galakkan dan akan terus menggalakkan semua wanita Islam memberi fokus asas di dalam membangunkan diri mereka dlm pelajaran, kerjaya dan pnghidiupan individu serta sumbangan +ve pada masayrakat umum. Ini kita kejarkan dahulu. Isu tudung isu luaran dan sampingan yg tak patut kita nobatkan sebagai satu aspek genting yg patut di utamakan.
Kemurniaan seorang muslimah itu pada hatinya dan bukan berapa meter kain yg digunakan utk menutup litup kapalanya. |
| |