   | Hadith | Nov 16, '07 8:30 AM for everyone |
 HADITH : ANTARA TERJEMAHAN DAN HURAIAN oleh: ustaz Adlan Abdul Aziz (ali tantawi) , ketua Jabatan Hadis www.al-ahkam. net Jalan yang paling ringkas untuk memahami sesuatu teks hadith (b.arab) adalah dengan melihat terjemahannya di dalam mana-mana buku terjemahan sama ada buku terjemahan yang khusus (terjemahan Sahih al-Bukhari, terjemahan hadith 40 al-Nawawi) atau terjemahan penulis buku sendiri ketika beliau menyebut sesebuah hadith. Malah ada yang mahir dalam Bahasa Arab kadangkala boleh menterjemahkan hadith itu dengan hanya melihat lafaznya di dalam Bahasa Arab. Manakala jalan yang lebih teliti ialah dengan mencari huraian terhadap maksud hadith tersebut. Huraian selalunya akan memberikan maklumat yang lebih jelas terhadap maksud sesebuah hadith berbanding terjemahannya sahaja. Huraian hadith telah ditulis oleh ulama-ulama hadith sepanjang zaman. Ia merupakan satu amalan para ulama yang berterusan sejak dahulu hingga kini sama ada dalam buku-buku yang tebal atau nipis. Saya pasti tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa di antara terjemahan dan huraian, pasti huraian merupakan jalan yang lebih baik dalam memahami sesuatu hadith. Malah dalam memahami ayat-ayat Al-Quran pun kita akan dapat melihat perbezaan di antara terjemahan dan huraian (tafsir). Di dalam masyarakat kita di Malaysia, kita amat beruntung kerana masih wujud ramai orang-orang berilmu (tidak kira tinggi atau rendah ilmunya) yang bersemangat untuk menyampaikan hadith-hadith Rasulullah SAW kepada masyarakat di sekelilingnya. Bahkan semangat yang tinggi dalam membaca hadith-hadith itu serta menghafaznya tidak boleh dipandang remeh. Namun, terdapat beberapa kesilapan yang berlaku pada sebahagian mereka. Di antara kesilapan itu ialah tidak merujuk huraian atau ‘syarh’ sesuatu hadith tetapi cukup dengan membaca terjemahannya sahaja. Sikap ini merupakan perkara negatif yang dilakukan oleh mereka yang tidak menguasai Bahasa Arab dan juga dilakukan oleh mereka yang menguasai Bahasa Arab. Sikap ini memberikan imej negatif daripada beberapa sudut: Pertama, ia mungkin memberikan gambaran bahawa orang-orang yang menyebarkan hadith agak malas dalam membuat rujukan dan berpada hanya dengan melihat maksud hadith dengan jalan terjemahannya sahaja. Kedua, ia mungkin akan membuka jalan ke arah salah faham maksud sebenar Rasulullah SAW di dalam hadith-hadith Baginda. Ini kerana sesuatu hadith mestilah dilihat secara bersama dengan hadith-hadith sahih yang lain untuk mendapatkan maksud yang tepat. Ketiga, ia mungkin memberikan gambaran bahawa ilmu hadith ini terlalu mudah dan boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja, asalkan dirinya mempunyai sumber rujukan terjemahan hadith. Saya dan beberapa orang sahabat ketika mana kami mendengar kuliah sama ada di televisyen, radio atau menghadiri kuliah, malah ketika berbual dengan rakan-rakan, pernah bertemu dengan orang-orang yang tersalah dalam memberi maksud hadith. Sebabnya ialah kerana diri yang menyebut hadith itu tidak merujuk kepada huraian sesuatu hadith daripada pelbagai sumber rujukan. Mungkin isu ini dianggap kecil sekiranya kita hanya berbual dan berbincang sesama kita. Tetapi terkadang ia berlaku dalam satu majlis yang dihadiri oleh ramai orang dan kesemuanya akan pulang ke rumah mereka masing-masing dengan membawa maksud yang tidak tepat terhadap hadith Rasulullah SAW. Malah ia juga mungkin berlaku dalam penulisan artikel atau buku yang dibaca oleh ramai pencinta ilmu. Bayangkan kesan yang akan berlaku dalam jangka masa yang panjang. Sebagai contoh, terdapat hadith-hadith yang diterjemahkan dengan maksud : ‘tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah ia melakukan…’. Adakah maksud hadith ini seseorang itu belum dikira beriman sehinggalah ia melakukan perkara tersebut? Para ulama telah menghuraikan maksud hadith itu dengan panjang lebar dan didapati bahawa pendapat yang disebutkan oleh ulama hadith sepanjang zaman tidak hanya terhad kepada makna ‘tidak beriman’ malah maksudnya yang dihuraikan antaranya ialah ‘tidak sempurna iman’. Begitu juga dengan hadith-hadith yang memberi amaran bahawa jika melakukan perkara tertentu, ia adalah syirik. Adakah perkara-perkara itu kesemuanya menjerumuskan seorang muslim ke dalam syirik dengan maksud menyekutukan Allah SWT? Sedangkan ulama (dalam huraian hadith) menyebutkan antara maksudnya ialah perkara tersebut adalah perbuatan syirik tetapi pelakunya tidak keluar daripada Islam, tetapi tetap melakukan dosa yang besar. Contoh lain pula ialah hadith-hadith tentang ‘tidak masuk syurga jika melakukan…’. Ada yang menterjemahkannya kepada masyarakat dengan maksud ‘haram masuk syurga’. Adakah ini bermakna dengan melakukan sesuatu dosa (selain syirik) akan menjadikan seseorang muslim atau muslimah kekal di dalam neraka dan tidak akan masuk syurga selama-lamanya? Begitu juga dengan hadith-hadith yang menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, dia akan masuk syurga. Malah ada hadith yang menyatakan cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah sudah boleh masuk syurga. Adakah ini bermakna amal ibadat tidak lagi penting? Adakah ini bermakna sesiapa sahaja boleh masuk syurga tanpa dinilai dosa dan pahala hanya dengan menuturkan kalimah syahadah? Begitu juga dengan hadith-hadith berkaitan ibadah. Terdapat hadith yang pada zahir teksnya memberikan maksud tidak sah solat orang yang sedang menahan kencing atau solat ketika makanan telah terhidang. Begitu juga terdapat sebahagian kita yang membawa pendapat ‘wajib melekatkan buku lali kaki, siku dan lutut dengan orang yang di sebelah ketika solat jemaah’ hanya kerana membawa terjemahan kata-kata sahabat yang dilihat secara zahir tanpa melihat huraian daripada pelbagai sumber. Adakah dengan wujudnya perintah Rasulullah SAW untuk meluruskan saf, maka perbuatan itu dianggap sebagai satu fardhu atau wajib? Adakah begitu pendapat dan huraian ulama sepanjang zaman? Begitu juga perintah Rasulullah SAW agar umat Islam menunaikan solat seperti Baginda solat. Adakah ini bermakna semua amalan dan bacaan Baginda dalam solat membawa hukum ‘wajib’ atau ‘rukun’? Terdapat hadith-hadith yang kadangkala membawa maksud perumpamaan tetapi disebabkan terjemahan, ia dilihat seperti hakikat. Contohnya hadith tentang ‘syaitan berjalan di dalam salur darah anak Adam’ dan hadith tentang ‘wanita itu dicipta daripada tulang rusuk’. Walaupun perkara ini dibincangkan dengan pelbagai pendapat, tetapi terjemahan ringkas menyebabkan hadith ini dilihat dengan hanya satu sudut dan satu tafsiran. Begitu juga dengan hadith-hadith yang menyatakan kalau dibuat sesuatu perkara, maka diampunkan semua dosa. Adakah ini ditafsirkan oleh ulama hadith dengan semudah itu? Begitulah seterusnya jika kita hanya bergantung kepada terjemahan. Perkara ini juga berlaku dalam kita memahami ayat-ayat Al-Quran. Tidak memadai dengan hanya bergantung kepada terjemahan ringkas. Sekiranya mampu dan berkesempatan, jenguk-jenguklah buku-buku tafsir agar kita tidak salah dalam menyampaikan maksud sesuatu ayat Al-Quran. Sekadar contoh umum yang sedikit ini, saya ingin mengajak diri saya dan para sahabat yang ikhlas dan bersemangat dalam menyebarkan hadith, agar kita berhati-hati ketika menyampaikan maksud sesuatu hadith. Pastikan kita telah membuat pembacaan terhadap huraian hadith itu yang telah dijelaskan oleh ulama hadith sepanjang zaman. Jangan hanya bergantung kepada terjemahan yang ditambah pula dengan huraian kita sendiri dengan hanya bergantung kepada akal fikiran. Jangan sesekali mengambil risiko ini kerana ia akan memberikan kesan terhadap mereka yang mendengar. Kalaulah kita sampai ke tahap tidak dapat menemui huraian hadith itu, bertanyalah kepada yang tahu, kerana itu tidak langsung mengurangkan harga diri kita. Malah itulah sifat rendah diri yang perlu ada pada penuntut ilmu seperti saya dan anda. Kalau kita pernah tersalah, maka ubahlah pendapat itu sebagaimana ulama salaf pernah mengubah pendapat mereka kerana mengetahui ia kurang tepat. Wallahu a’lam alitantawi
Alamat Mimpi Hadith : Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:"Apabila hari kiamat telah dekat, jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar. Mimpi yang paling benar ialah mimpi yang selalu berbicara benar. Dan mimpi seorang muslim adalah sebahagian dari 45 jenis nubuwwah (wahyu). Mimpi itu ada tiga jenis:(1)Mimpi yang baik adalah khabar gembira daripada Allah, (2) mimpi yang menakutkan atau menyedihkan datangnya dari syaitan, (3) dan mimpi yang timbul kerana ilusi, angan-angan atau khayalan seseorang. Maka kerana itu jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah kemudian solat dan jangan menceritakannya kepada orang lain." (Muslim)
Huraian Setiap daripada kita pernah mengalami mimpi. Mimpi yang hadir ada yang menyenangkan dan ada juga mimpi yang buruk. Namun tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang tersirat di sebaliknya. Adakalanya mimpi itu bagaikan angin lalu yang tidak meninggalkan kesan kepada kita dan tidak kurang juga mimpi yang kita alami itu benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi bagi orang yang bertaqwa merupakan perkhabaran benar terhadap sesuatu yang akan berlaku. Contohnya, Rasulullah s.a.w tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi baginda menjadi kenyataan. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain yang mengalami mimpi yang benar seperti kisah yang melatarbelakangkan sambuatan perayaan Idul Adha. Nabi Ibrahim a.s bermimpi, lalu baginda menceritakan hal mimpinya itu kepada anaknya, Ismail, "Wahai anakku, aku bermimpi menyembelihmu. Bagaimana pendapatmu?" (as-Shaffat: 102). Kerana yakin mimpi itu datang daripada Allah S.W.T, maka nabi Ismail a.s merelakan dirinya dikorbankan. Allah menghargai kesetiaan hamba-hamba-Nya yang soleh ini lalu menggantikan Ismail dengan seekor kibas. Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf a.s. Diceritakan bahawa pada suatu hari nabi Yusuf mengkhabarkan kepada bapanya nabi Ya'qub,"Wahai bapaku, aku melihat sebelas bintang, matahari, dan bulan bersujud kepadaku." (Yusuf: 4). Ternyata mimpi ini membawa petanda baik bahawa nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi pemimpin yang berkuasa dan bijak. Namun mimpi bagi insan yang jauh dari keimanan kebanyakannya datang daripada syaitan. Jika mimpinya itu benar-benar menjadi kenyataan maka itu adalah sebagai peringatan daripada Allah SWT agar mereka yang jauh daripada kebenaran (hidayah) itu kembali dekat kepada-Nya.
Kunci Kemurahan Rezeki
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu." Riwayat Bukhari & Muslim
Huraian Pengajaran Hadis:
i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T. Tujuh Golongan Insan Contoh
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:" Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah Huraian: Pengajaran hadis:
i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu : a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.
b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.
c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid - Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.
d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah - Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:" Aku takut kepada Allah!" - Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.
f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya -Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya' dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.
g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah - Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung.
Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula." Riwayat Tabrani
Huraian
i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.
ii) Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.
iii) Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.
Tarikan Ke Neraka Dan Rintangan Ke Syurga
Hadith : Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:"Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi." (al-Bukhari)
Huraian
1. Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.
2. Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.
3. Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqomah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka.atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.
Nilai Seorang Manusia
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu." Riwayat Muslim
i) Setiap manusia nilainya yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Jika baik tingkahlakunya maka baiklah dia pada pandangan kita, begitulah sebaliknya.
Ii) Namun pada pandangan Allah S.W.T selain daripada tingkahlaku dan amalan, nilai yang terpenting adalah pada niat orang yang melakukan sesuatu amal perbuatan itu sendiri.
Iii) Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana sesuatu kebaikan yang ada 'udang di sebalik batu' tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas di mana maksud ikhlas tersebut ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T.
Iv) Lawan ikhlas adalah riya' iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek). Sifat ini akan menolak pahala daripada Allah S.W.T.
V) Seorang yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan memuaskan.
vi) Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu di mana keikhlasan akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat. Islam Dan Ekonomi Saling Memerlukan
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya." Riwayat at-Thabrani Huraian
i) Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi mesti dalam batasan syariah yang dibenarkan.
ii) Kedhaifan ekonomi umat Islam sebahagiannya adalah berpunca daripada kegagalan mereka sendiri mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.
iii) Harta bukanlah untuk tujuan keduniaan semata-mata tetapi juga untuk tujuan keakhiratan dan melaksanakan ibadat. Contohnya untuk menunaikan ibadah haji umat Islam memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos dan perbelanjaan dengan secukupnya.
iv) Adalah penting untuk umat Islam menguasai semua peringkat kegiatan ekonomi seperti menjadi pembekal, pengusaha dan pemasar dalam sesebuah industri di mana selain daripada dapat mengelak ia dimanipulasi dan ditindas oleh orang lain, mereka juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya. Hal ini juga termasuk dalam konteks jihad yang dituntut oleh agama.
v) Sikap mengabaikan keperluan ekonomi di dunia akan melemahkan kedudukan serta martabat orang Islam itu sendiri. Dalam masa yang sama ia memudahkan umat Islam dieksploitasikan oleh orang lain.
Tajuk : Sumber Yang Haram
Hadith : Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:"Jika engkau menjual buah-buahan (yang masih di pokok/kebun), lalu buah-buahan itu rosak dimakan hama, maka tidak halal bagimu menerima pembayaran kerana bererti engkau mengambil harta saudaramu tanpa hak." (Muslim)
Huraian Mu'amalat adalah merujuk kepada segala urusan yang berkaitan dengan harta ( mal ). Islam memperincikan pengurusan harta agar ia menepati kehendak sebenar dan menjamin hak setiap individu demi mengelak penindasan dan penipuan disamping membentuk jati diri seperti jujur, amanah, adil dan telus. Sesungguhnya syariatlah yang memandu kita agar tidak tersasar dari sikap tamak, rakus dan haloba kerana tidak ada jaminan bahawa kita mampu mengawasi nafsu yang memang fitrahnya mencari dan mengejar keuntungan semata-mata. Tajuk : Jauhi Daripada Perbuatan Yang Mengundang Laknat
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya apabila seorang manusia itu melaknat sesuatu, maka laknatnya itu akan naik ke langit lalu pintu akan ditutup supaya ia tidak dapat naik. Kemudian laknat itu akan turun ke bumi lalu pintu bumi tertutup dari dimasuki. Laknat itu mencari jalan kiri dan kanan lalu ia tidak menjumpai jalan haluan. Lalu laknat itu kembali kepada orang yang dilaknat, sekiranya orang itu memang layak dilaknat maka laknat itu akan terkena padanya. Sekiranya dia bukan ahli yang layak menerima laknat maka laknat itu akan kembali kepada orang yang melaknat itu semula. "
Huraian
1. Maksud laknat ialah jauh daripada rahmat Allah S.W.T kerana kemurkaan-Nya.
2. Selaku umat Islam yang dididik dengan ajaran Islam yang mulia kita amat dilarang daripada melaknat, mentohmah, bercakap keji atau hina serta mencaci maki orang lain atau pun makhluk lain yang tidak berdosa.
3. Oleh kerana laknat adalah termasuk di dalam perkara yang boleh membawa kebinasaan maka kita hendaklah sentiasa berwaspada agar terhindar daripada segala perbuatan keji yang berupa maksiat dan dosa sehingga menyebabkan kutukan masyarakat dan laknat Allah menimpa diri kita.
Memiliki Kemampuan Bersyukur
Hadith : Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan." (Bukhari)
Huraian
Firman Allah SWT yang maksudnya:"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah
i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya. ii) Selalu mengucapkan "alhamdulillah", memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah. iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang. Sabar Mencerminkan Keimanan
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud," Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga." Riwayat Bukhari
Huraian
Pengajaran hadis:
i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:" Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Maksud al-Baqarah :156)
iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.
Kesabaran Rasulullah Saw Dalam Berdakwah
Hadith :
Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan:"Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW :"Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai." (Bukhari dan Muslim)
Huraian
Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika baginda pergi ke Taif untuk berdakwah. Di sana baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah baginda dan melindungi baginda daripada keganasan puak Quraisy. Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya. Namun sebagai seorang Nabi baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka.
Mudahkan Jangan Susahkan!
Hadith :
Abu Burdah r.a berkata :"Rasulullah mengutus ayah ku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:"Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, Gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu." (Bukhari dan Muslim)
Huraian
Dalam berdakwah terdapat tatacara yang perlu diamalkan agar segala apa yang disampaikan menjadi ikutan. Antaranya ialah kita dilarang daripada menyukarkan manusia dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Contohanya ketika kita menjadi imam di dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmun yang ada bersama kita terdiri daripada mereka yang lemah dan sakit, tua dan sebagainya. Nabi juga menyuruh kita mengembirakan manusia bukan menjadikan mereka merasa benci dengan ajaran yang kita sampaikan. Oleh itu kita hendaklah mendahulukan perkara-perkara yang menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara yang berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat dari agama dan kebenaran. Sebalikanya jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat dan tahap tertentu bukan bersifat drastik dan melulu .
Tajuk : Dua Perkara Yang Mendatangkan Azab Hadith : Ibnu Abbas menceritakan :"Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :"Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar." Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:"Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan." Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:"Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?" Jawab baginda "Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering." (Bukhari)
Huraian Sebagai seorang Muslim, aspek kebersihan hendaklah dititik beratkan termasuklah perkara-perkara asas seperti qadha' hajat (buang air kecil atau besar). Islam selaku agama yang sempurna telah menyediakan tata tertib yang sepatutnya untuk diikuti demi menjamin kesihatan umatnya. Demikian juga dengan bersuci di mana tabiat tidak bersuci sesudah kencing oleh sesetengah orang yang dianggap perkara biasa sebenarnya mendatangkan azab yang amat besar di akhirat kelak sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas kerana membuang air tanpa bersuci atau membuang air di tempat-tempat terbuka (di tepi-tepi jalan tanpa bersuci) dilarang oleh Islam kerana ia mencerminkan adab yang kurang sopan selain mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan penyakit.
Pohonlah Keampunan Dan Kemaafan Sebelum Terlambat
Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya." Riwayat Bukhari
Huraian Pengajaran hadith: i) Setiap umat Islam adalah dituntut menyelesaikan segala kesalahan, hutang-piutang dan sebagainya di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat di mana jika ada apa-apa hak orang lain padanya maka mestilah ia mengembalikannya dan jika tidak dapat dikembalikan hendaklah ia meminta perlepasan daripada pemiliknya. ii) Termasuk juga hak-hak Allah S.W.T hendaklah diselesaikan seperti mengqadha'kan amal-amal fardu yang pernah ditinggalkan dahulu dan sebagainya. iii) Sesungguhnya sesuatu perbuatan yang menyakiti hati orang atau makhluk lain akan menyebabkan dosa. Oleh itu kita diseru supaya segera meminta maaf dan bertaubat memohon keampunan selagi ada kesempatan (sebelum ajal mendatang). Jika tidak penyesalan yang amat besar akan ditanggung di akhirat kelak.
Tajuk : Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia".
Riwayat Abu Daud
Huraian 1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam. 2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak. 3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti. Dana Di Dunia Dan Akhirat Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu." Riwayat at-Tirmidzi
Huraian 1. Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain. 2. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat. 3. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti aqidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredhaan Allah SWT. 4. Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.
Allah Bersifat Lemah Lembut Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut."
Riwayat Muslim
Huraian 1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah. 2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya. 3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Segalanya Terletak Pada Hati Hadith : Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu." (Muslim)
Huraian Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada (heart). Ia berfungsi sebagai penetral darah. Imam al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani. Dia berkata:"Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat, padahal Allah hanya memandang hati mereka sebagaimana firman Allah dalam surah asy-Syams ayat 7-10." Hati di ibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua aktiviti seseorang. Jika hati baik maka akan baiklah kelakuan seseorang itu dan jika sebaliknya maka buruklah peribadi seseorang itu. Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah yuang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan 
 | Salam untuk semua. Berwaspadalah! Jangan dihancurkan oleh perkara2 yg remeh, tetapi juga jangan berikan perhatian terhadap suatu permasalahan lebih besar dari seharusnya. Berhati2lah,jangan terlalu takut meng- hadapi masalah dan terlalu membesar-besarkan masalah. Jadilah orang yang berpandangan luas. Berusahalah untuk memaafkan siapa saja yg berbuat jahat kepada anda agar anda boleh menikmati hidup ini dengan damai dan hati yang tenang,dan buangkanlah jauh-jauh keinginan untuk membalas dendam. Jangan buat musuh2 anda gembira. dengan kemarahan dan kesedihan anda, kerana itulah yg diinginkan olehnya. Jangan anda luluskan keinginan mereka untuk mengeruhkan kehidupan anda. Janganlah anda seperti lalat yang yg hanya hinggap di atas luka.Jangan menginjak-injak di atas penderitaan orang lain.membicarakan aib mereka, dan bahkan.mengingin-kan kejatuhan mereka. Kunjungilah hospital,agar anda boleh merasakan bagaimana nikmatnya sihat. Kunjungilah penjara,agar anda boleh merasakan bagaimana nikmatnya kebebasan. Kunjungilah rumah sakit jiwa,agar anda menyedari nikmatnya aqal.Sebab jika anda tidak pernah mengunjungi tempat2 ini secara langsung,maka anda akan sentiasa berada dalam nikmat tetapi tidak pernah menyedarinya. |
| |