Pasir Mas: 17 Dis – Selepas menziarahi keluarga Allahyarham prebet Mohd Yazman Yaacob, di Kampung Gerong, Tumpat. Ahli exco Kerajaan Negeri, Dato’ Hj Husam Musa meluangkan masa melawat pusat perpindahan mangsa banjir di Sekolah Rendah Kebangsaan Gelang Mas di tendong, Pasir Mas.
Pusat perpindahan itu menempatkan lebih kurang 800 orang mangsa banjir yang rumah mereka dinaiki air. Di pusat tersebut juga terdapat seorang bayi yang baru berusia 17 hari yang ditempatkan bersama-sama ibu bapanya.
Setelah berpuashati dengan tahap bantuan yang diterima oleh mangsa, Hj Husam dan rombongan meninjau sendiri kawasan yang ditenggelami air di kawasan sekitar menggunakan bot.
Menurut penduduk setempat, kenaikkan paras air yang mendadak telah mengakibatkan banyak harta benda terutamanya kenderaan tidak dapat diselamatkan.
Malah menurut penduduk kampung lagi, kawasan kammpung mereka tidak pernah dinaiki air sebelum ini dan menganggap fenomena ini adalah suatu yang luar biasa. Sehingga petang ini, seorang penduduk dari Kampung Jakar, Pasir Mas mengesahkan air masih lagi naik.
Kejadian banjir yang buruk ini dipercayai berkait rapat dengan pecahnya sebuah empangan di Selatan Thai.
Hj Husam menghabiskan masa hampir 45 minit meninjau kawasan yang dinaiki air sebelum pulang ke Kota Bharu.